Puedes modificar el texto de esta barra manualmente.
Anaksoleh~: CABARAN ULAMA’ MUDA DALAM PERJUANGAN ISLAM





CABARAN ULAMA’ MUDA DALAM PERJUANGAN ISLAM

CABARAN ULAMA’ MUDA DALAM PERJUANGAN ISLAM


Ustaz Idris Haji Ahmad
Timbalan Ketua DPP Pusat/AJK PAS Pusat 2005-2007

Sebenarnya tidak ada istilah ulama’ muda atau ulama’ tua. Yang ada ialah ulama’ akhirat dan ulama’ su’. Ulama’ ialah mereka yang mempunyai ilmu dan takut kepada Allah SWT. Walaubagaimanapun, tajuk kita pada hari ini akan memfokuskan kepada ulama’ yang terdiri daripada kalangan orang muda. Alhamdulillah, Allah telah menganugerahkan kepada mereka ilmu sehingga mereka mampu untuk menggerakkan jamaah dan perjuangan. Di antara cabaran yang dihadapi oleh ulama’ muda ialah:


1. Cabaran Kebendaan

Oleh kerana nama pun ulama’ muda, maka sudah tentulah kita berada dalam suasana lingkungan pengaruh kebendaan yang kuat yang merantai kehidupan kita pada hari ini. Panggilan dan tarikan dunia menyebabkan kadang-kadang kita malas untuk bersama dengan perjuangan. Lebih-lebih lagi kawan-kawan yang seangkatan dengan kita dilihat lebih senang dan mewah apabila mereka tidak bersama dengan perjuangan Islam.

Allah mengingatkan kita dalam Al-Quran:

“Katakanlah (wahai Muhammad): harta benda yang menjadi kesenangan di dunia adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya)” (An-Nisa’ 4:77)

2. Keluarga (Ibu bapa dan saudara mara)

Keluarga juga memberi cabaran kepada ulama’ muda untuk melibatkan diri dalam perjuangan. Ada keluarga yang memang menentang perjuangan Islam dan ada juga yang memang menyokong perjuangan PAS. Namun, perkara ini juga memberi hambatan kepada para ulama’ muda untuk bergerak aktif walaupun latar belakang keluarga bersama dengan PAS. Mereka menganggap cukup hanya dengan sokong sahaja, tidak perlu berjuang bermati-matian. Oleh sebab itu, banyak dilihat anak-anak aktivis parti yang tidak terlibat dalam perjuangan PAS. Kegemilangan hanya pada zaman ayahnya tidak menurun kepada anaknya. Manakala keluarga yang UMNO, mereka menentang habis-habisan sehingga ada yang tidak mengaku anak.

3. Isteri

Inilah yang diletakkan oleh Ustaz Fathi Yakan bahawa halangan pertama pada pendakwah ialah wanita. Bagi yang belum berkahwin, cabarannya juga wanita yang menggoda ulama’. Bagi yang sudah berkahwin, maka kerenah isteri yang tidak faham dengan tabiat perjuangan Islam. Ada yang mampu lawan, ada yang tertewas dengan isteri. Lebih-lebih lagi apabila isteri tidak faham dengan perjuangan Islam dan perkahwinan pula bukan di atas jalan dakwah. Tetapi kerana harta, cantik, akhirnya ulama’ muda kecundang di pertengahan jalan. Peringatan Allah dalam Al-Quran perlu dirujuk:

“Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan , anak-anak, harta benda berbentuk emas dan perak, kuda pilihan dan haiwan ternak dan sawah lading. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik” (Al-Imran 3:14)



4. Kejahilan Umat

Umat Islam tidak memahami tasawwur Islam yang sebenar. Mereka hanya memahami Islam dalam bentuk fahaman yang sempit. Fahaman yang menolak bahawa dalam Islam ada politik dan urusan keduniaan. Otak yang mereka faham mengenai Islam hanya berkaitan dengan mati sahaja. Urusan dunia, terpulanglah kepada manusia, asalkan nampak senang, halal haram belakang kira. Mereka menolak Islam dalam keadaan jahil. Ulama’ yang tidak tahan dengan kerenah ini akan lari daripada medan.

5. Merasa diri sudah berada dengan kerja amal Islami

Anggap bahawa mereka sudah berada dalam amal Islami. Sudah cukup dengan hanya mengajar masyarakat di sekolah atau di masjid. Cukup sekadar itu sahaja. Mereka merasa ini satu sumbangan yang telah mereka beri untuk Islam. Kita tidak menafikan bahawa kerja ini adalah sebahagian daripada amal Islami. Tetapi jika anggapan seperti ini sudah cukup, amat malang bagi ummah yang mengharapkan kepada mereka untuk memimpin masyarakat.

Firman Allah SWT:

“Alif Laam Miim. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan “kami telah beriman” sedangkan mereka tidak lagi diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka. Maka sesungguhnya, Allah mengetahui orang-orang yang benar-benar beriman dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta”. (Al-Ankabut: 1-3)

6. Hendak membina Profesion masing-masing

Cabaran madiyyah yang melanda menyebabkan ada di kalangan ulama’ muda hendak membina profesion dalam bidang kerja sehingga lupa kepada tanggungjawab kepada ummah dan jamaah. Mereka telah menjadi golongan yang gugur dalam perjuangan. Ada yang menyatakan; “kami hendak dapat professor dahulu, baru hendak berjuang”. Ada yang berazam akan berjuang setelah kukuh ekonomi. Ada yang mendakwa hendak berjuang setelah kukuh dalam jawatan. Apa kata sebelum dapat professor, dia mati? Apakah jawapan yang boleh mereka berikan kepada Allah SWT? Ini bukan bermakna kita mengarahkan mereka meletakkan jawatan, tetapi sekurang-kurangnya berilah sumbangan yang boleh untuk jamaah terus maju. Kebanyakan mereka ini bukan hendak beri tenaga, malahan wang ringgit pun sukar. Walaupun gaji mereka berpuluh ribu.

7. Gangguan dari gerakan lain

Selain daripada menghadapi cabaran daripada gerakan sekular, ulama’ juga menghadapi cabaran daripada kalangan golongan yang mendakwa bahawa kita tidak perlu bersama dengan PAS kerana PAS ialah jamaah centric (menyeru manusia taksub kepada jemaah, bukan kepada Islam). Mereka menyeru supaya kita bekerja dalam bentuk Ummah centric (bukan kepada jamaah tapi kepada Islam). Kalau kita bersama dengan jamaah, bermakna kita hanya berfikiran dalam lingkungan puak kita sahaja. Dakwaan golongan ini, kalau UMNO sekalipun tidak mengapa, asalkan ia juga membincangkan masalah kebaikan ummah. PAS bukan gerakan Islam yang tertua. Tidak perlu berjamaah, nanti mati, Allah tidak tanya apa jamaah yang kamu ikut. Gerakan ini sekarang sedang menular di pusat-pusat pengajian tinggi.

Saranan mereka supaya dalam kerja dakwah ini tidak perlu kepada berjemaah, kerana boleh dibuat secara seorang diri. Tidak perlu dengar mana-mana arahan jamaah. Mempertikaikan mengenai bai’ah dalam gerakan Islam. Tidak perlu bai’ah kerana bai’ah hanya pada zaman Nabi SAW sahaja. Pemikiran ini cuba diterapkan oleh majalah “I” keluaran Krangkraf. Di antara yang mempopularkan idea ini ialah Ustaz Maszlee Malik (Lulusan Jordan, Exco JIM Pusat/Pensyarah Matrikulasi UIA), Hafiz Firdaus (Pilot). Justeru itu, ulama’ muda perlu mesti peka dengan hal ini. Mereka mesti menangkis dakyah ini. Adakah benar dakwaan ini? Ulama’ mesti menjawab dengan nas untuk menolak fahaman ini.

8. Menganggap Tidak berdosa

Apabila menganggap tidak ada apa-apa musibah yang menimpa walaupun kita meninggalkan kerja jihad. Ia merasakan tidak berdosa walaupun tidak berjihad di jalan Allah SWT. Akhirnya, realiti di dalam PAS, ramai pengikut tetapi tidak ramai yang hendak menggerakkan jamaah. Mereka mesti ingat bahawa meninggalkan gerak kerja jamaah adalah satu dosa terutama bila kita membiarkan maksiat berleluasa, kemungkaran di sana sini.

9. Tidak sensitif dengan masyarakat yang sedang sakit

Jika diperhatikan pada hari ini, masyarakat sedang sakit rohani, bukan fizikal. Keadaan masyarakat hari ini yang rosak dari segi akhlak dan moral seperti gejala dadah, dedah, aids, lepak, buang anak, pertandingan ratu cantik, lakonan filem yang mengghairahkan, bohsia bohjan dan banyak lagi wabak-wabak lain. Malahan, masyarakat yang kontang rohani ini turut jahil dalam memahami agama.

Penyakit pada hari ini bukan sahaja pada bidang tertentu malah meliputi seluruh bidang kehidupan. Keyakinan hari ini adalah ekonomi Islam tidak sesuai untuk diamalkan, politik mesti dipisahkan daripada agama. Amalan sosial Islam sudah dinyahkan daripada masyarakat sebaliknya mengaut apa yang ditiru daripada barat. Dalam bidang aqidah, telah berlaku krisis keyakinan kepada kesempurnaan hukum Allah SWT yang mampu memberi kesejahteraan kepada manusia.

Gejala-gejala di atas tidak disedari oleh ulama’ tentang betapa perlu mereka melibatkan diri dalam perjuangan Islam. Sepatutnya mereka mesti berasa terpanggil untuk mengubatnya. Oleh kerana mereka tidak merasakan ini satu penyakit, maka mereka buat tidak kisah dengan apa yang berlaku.

10. Tidak merasakan ini satu Amanah Allah

Setelah agama Allah ini sempurna dengan kewafatan junjungan besar Nabi SAW, maka ia menjadi amanah Allah yang mesti dipikul oleh setiap manusia yang beriman terutamanya golongan ulama’. Sekiranya kita tidak berjihad mempertahankan agama Allah, maka kita akan menerima balasan daripada Allah SWT. Amanah ini mesti dipikul oleh seluruh manusia kerana agama ini adalah untuk menyedarkan seluruh manusia bermula daripada diri sendiri, kaum keluarga dan orang ramai. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah Kami kepada kepada langit dan bumi, serta gunung-ganang untuk memikulnya. Maka mereka enggan memikulnya dan bimbang kerana tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. Ingatlah! Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan”.
(Surah Al-Ahzab, 33:72)

Ada di kalangan ulama’ yang tidak merasakan diri mereka wajib berjuang. Sedangkan amanah ini adalah yang paling utama memikulnya adalah ulama’. Apabila perasaan ini tidak ada maka kemungkaran berleluasa, kejahilan di kalangan umat merata.


0 comments: